Tuesday 21 April 2020

FAQ INDEKS HARGA PENGGUNA MAC 2020

APAKAH INDEKS HARGA PENGGUNA (IHP)

IHP adalah ukuran perubahan harga dari masa ke masa bagi sekumpulan barangan dan perkhidmatan tetap yang biasa dibeli oleh isi rumah. Bakul IHP mengandungi   kira-kira 780 jenis barang dan perkhidmatan penggunaan. Ia hanya meliputi perbelanjaan yang dilakukan oleh isi rumah dan perbelanjaan disini adalah tidak termasuk perbelanjaan bukan penggunaan seperti pembayaran balik pinjaman, cukai pendapatan dan pembelian aset.

Setiap barangan dan perkhidmatan yang diliputi dalam “bakul” IHP adalah barangan yang menjadi pilihan orang ramai dan bersifat selalu digunakan. Barangan dan perkhidmatan ini mempunyai ‘wajarannya’ yang tersendiri, iaitu merujuk kepada komposisi perbelanjaan bagi setiap barangan tersebut daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah setiap bulan. Sebagai contoh, wajaran perbelanjaan untuk subkumpulan bahan api dan pelincir kenderaan persendirian direkodkan sebanyak 8.5 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan purata rakyat Malaysia.

Data perbelanjaan rakyat Malaysia ini diperoleh daripada Survei Penyiasatan Pendapatan, Perbelanjaan dan Kemudahan Asas Isi Rumah (HIES & BA) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada setiap dua tahun sekali. Ini bermaksud, secara umumnya wajaran perbelanjaan IHP juga dikemaskini setiap dua tahun sekali.

Setiap jenis barang dan perkhidmatan ini dikelaskan berpandukan kepada Classification of Individual Consumption According to Purpose (COICOP). Terdapat 12 kumpulan utama iaitu:

Kumpulan Utama
Wajaran
01 : Makanan dan Minuman Bukan Alkohol
29.5%
02 : Minuman Alkohol dan Tembakau
2.4%
03 : Pakaian dan Kasut
3.2%
04 : Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain
23.8%
05 : Hiasan,Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah
4.1%
06 : Kesihatan
1.9%
07 : Pengangkutan
14.6%
08 : Komunikasi
4.8%
09 : Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan
4.8%
10 : Pendidikan
1.3%
11 : Restoran dan Hotel
2.9%
12 : Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan
6.7%


IHP DAN INDEKS KOS SARA HIDUP

IHP mengukur perubahan harga barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh isi rumah. Sementara indeks kos sara hidup merujuk kepada ukuran jumlah Ringgit yang diperlukan untuk membeli sejumlah barang dan perkhidmatan berdasarkan standard tertentu kehidupan. IHP tidak boleh digunakan untuk mengukur kos sara hidup memandangkan ianya hanya mengukur perubahan harga dari semasa ke semasa. Ini bermaksud apabila indeks bagi satu-satu item atau kawasan lebih tinggi dari yang lain, ianya bukan bermaksud harga barang bagi item atau kawasan tersebut meningkat lebih laju berbanding yang lain. Jadual di bawah menunjukkan perbezaan di antara indeks harga dan harga barang.

Item
Indeks Harga Pengguna
Nilai harga
Mac 2019
Mac 2020
Mac 2019 (RM)
Mac 2020 (RM)
· Sepinggan nasi
A. Kawasan A
100.0
102.1
7.00
7.15
B. Kawasan B
100.0
103.0
5.00
5.15

Dari segi indeks, kawasan B menunjukkan peningkatan harga lebih laju dari kawasan B. Namun dari segi kos sara hidup, untuk mendapatkan sepinggan nasi, kawasan A masih lebih mahal dari kawasan B.


APA YANG TERJADI?

IHP  diperingkat  keseluruhan  bakul  bagi  Mac  2020  merekodkan penurunan 0.2 peratus (Mac 2020) berbanding 1.3 peratus semasa Februari 2020. Ini merupakan penurunan kali ketiga semenjak IHP diasaskan semula dengan menggunakan tahun asas 2010. Penurunan kali pertama adalah pada Januari 2019 (-0.7 peratus) dan kali kedua pada Februari 2019 (-0.4 peratus).  Dengan kata lain, sekumpulan barang dan perkhidmatan yang menelan belanja RM100 pada bulan Mac 2019 akan mempunyai kos sebanyak RM99.80 pada bulan Mac 2020.

Berdasarkan data yang diterbitkan, faktor utama yang mendorong kejatuhan ini adalah disebabkan kejatuhan harga dalam subkumpulan bahan api pelincir untuk kegunaan sendiri, iaitu turun sebanyak 16.1 peratus (Mac 2020) berbanding positif  3.8  peratus   bagi  tempoh  Februari  2020.  Subkumpulan  ini mewakili 8.5 peratus  daripada bakul IHP. Keadaan ini secara langsung telah mengakibatkan penurunan inflasi tertinggi bagi kategori Pengangkutan sebanyak 8.9 peratus. Ini adalah selaras dengan pengapungan harga RON 95 yang dikurangkan sepanjang Mac 2020, yang mana secara purata harga RON 95 adalah RM1.74 seliter berbanding RM2.07 seliter (Februari 2020).  

Selain daripada kumpulan Pengangkutan, kumpulan pakaian dan kasut juga menunjukkan penurunan. Namun begitu, perlu difahami bahawa walaupun kadar inflasi keseluruhan adalah di bawah paras 0, masih terdapat beberapa kumpulan utama seperti kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol yang mencatatkan  peningkatan  sebanyak  1.2  peratus  dan  kumpulan  kesihatan,  1.4 peratus.

Jika disorot kembali, inflasi mula menunjukkan perubahan yang perlahan mulai Jun 2018 apabila kerajaan memansuhkan GST (Jun-Ogos 2018) dan menstrukturkan semula percukaian daripada GST kepada SST mulai September 2018 dan disokong juga dengan pelaksanaan pengapungan harga bahan api untuk kenderaan persendirian yang lebih rendah.
  

INFLASI UMUM ATAU INFLASI TERAS?

Perlu dijelaskan bahawa kejatuhan dalam IHP adalah merujuk kepada inflasi umum (headline inflation) yang merupakan ukuran yang berbeza untuk inflasi teras. Oleh itu, penting untuk memahami apa yang disebut IHP; apakah perbezaan antara inflasi utama dan teras; dan apakah itu inflasi negatif dan deflasi.

Di Malaysia, selain daripada IHP umum, Harga purata juga diukur menggunakan barangan teras iaitu barangan kawalan yang mempunyai harga yang stabil dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan. Indeks barangan teras ini masih menunjukkan peningkatan  positif   dengan  kadar  yang  sama  seperti  Februari  2020  iaitu  1.3 peratus.


SAYA KELIRU, ADAKAH DEFLASI ATAU INFLASI NEGATIF?

Inflasi negatif yang sedang dialami sekarang ini seharusnya tidak perlu dikelirukan dengan deflasi. Menurut bekas pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Ben Bernanke, deflasi merujuk kepada: "penurunan harga secara umum, dengan penekanan pada perkataan" umum ". Penurunan harga bagi beberapa kumpulan spesifik  pada amnya bukan masalah untuk ekonomi dan tidak membentuk deflasi ".

Singapura pernah mengalami situasi yang sama seperti Malaysia pada tahun              2014-2015. Pengarah Urusan Kewangan Singapura (MAS) Ravi Menon menjelaskan bahawa Singapura tidak menghadapi deflasi kerana penurunan harga "tidak meluas atau berterusan", menyaksikan masih berlaku kenaikan yang positif dalam inflasi teras dan harga barangan dan perkhidmantan bagi keperluan asas. Penurunan harga hanya berlaku dalam pasaran kenderaan dan pasaran harta benda akibat intervensi kerajaan.

United Kingdom juga mengalami inflasi negatif pada Mac 2011 dengan penurunan  0.1 peratus, merupakan inflasi negatif yang pertama semenjak tahun 1960. Penurunan ini adalah disebabkan penurunan harga tambang pengangkutan air dan laut disamping kejatuhan harga minyak. Namun, menurut pandangan pakar ekonomi UK, Larry Elliott, mengatakan apa yang dialami oleh UK bukanlah deflasi. Beliau menjelaskan deflasi adalah kejatuhan harga secara umum dan berterusan, bukan penurunan jangka pendek kepada sektor tertentu.

Negara yang pernah mengalami deflasi adalah Jepun, yang telah berjuang untuk menaikkan penurunan harga selama 15 tahun. Dalam usaha untuk mencetuskan pinjaman dan perbelanjaan, bank pusatnya, Bank of Japan, telah  menetapkan kadar faedah negatif sebanyak 0.1 peratus ke atas beberapa deposit pada bulan Januari 2016.

Nota Penjelasan IHP Mac 2020

1. Prestasi Indeks Harga Pengguna (IHP) Mac 2020

1.1 Prestasi Keseluruhan
Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 peratus bagi bulan Mac 2020 kepada 120.9 berbanding 121.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Ini merupakan penurunan kali ketiga semenjak IHP diasaskan semula dengan menggunakan tahun asas 2010. Penurunan kali pertama adalah pada Januari 2019 (-0.7%) dan kali kedua pada Februari 2019 (-0.4%). Kumpulan Pengangkutan yang menyumbang 14.6 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP menurun 8.9 peratus pada Mac 2020. Namun, penurunan ini telah diimbangi dengan peningkatan indeks kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (1.6%) dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.2%).

Purata harga RON95 yang lebih rendah pada bulan Mac 2020 iaitu RM1.74 per liter berbanding RM2.08 pada Mac 2019 telah menyumbang kepada perubahan negatif indeks Pengangkutan dan indeks keseluruhan. Tambahan pula, purata harga RON97 turut menunjukkan penurunan harga kepada RM2.04 per liter berbanding RM2.51 manakala Diesel mencatatkan penurunan harga kepada RM1.89 per liter daripada RM2.18 pada bulan yang sama tahun lalu. Pengurangan harga minyak ini turut selari dengan penurunan harga minyak mentah Brent dunia yang menyusut 50.3 peratus kepada AS$32.98 setong pada Mac 2020 berbanding AS$66.41 setong pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Walaubagaimanapun, kumpulan utama Makanan & Minuman Bukan Alkohol terus menunjukkan peningkatan bagi Mac 2020 sebanyak 1.2 peratus kepada 134.1 berbanding 132.5 pada bulan yang sama tahun lepas. Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP). Selain itu, kumpulan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.6 peratus, diikuti oleh Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (1.6%), Komunikasi (1.5%), Kesihatan (1.4%) dan Pendidikan (1.3%).

Bagi perbandingan bulanan, IHP mencatatkan penurunan 1.2 peratus berbanding bulan Februari 2020. Penurunan ini telah didorong oleh kumpulan Pengangkutan (-8.7%), Restoran & Hotel (-0.2%) dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (-0.1%).

Sementara itu, IHP bagi suku tahun pertama 2020 meningkat 0.9 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan ini disebabkan terutamanya oleh Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.5%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (1.7%), Komunikasi (1.5%), Kesihatan (1.4%) dan Pendidikan (1.4%). Bagi perbandingan suku tahunan, IHP mencatatkan penurunan 0.2 peratus berbanding suku tahun keempat 2019.

1.2 Prestasi Mengikut Negeri
Semua indeks negeri menunjukkan penurunan antara -0.1 peratus hingga -0.9 peratus bagi Mac 2020 berbanding Mac 2019. Namun begitu, Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang masing-masing masih mencatatkan perubahan positif 0.3 peratus, 0.2 peratus dan 0.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas.

Semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.8%), Johor (1.8%) dan Terengganu (1.6%) dan ia melebihi paras nasional 1.2 peratus bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol pada Mac 2020.


2. Analisis sebut harga mengikut negeri

Bilangan sebut harga yang dipungut pada Mac 2020 adalah 163,606 berbanding 165,446 pada bulan lalu. Pungutan harga ini melibatkan 21,800 outlet seluruh Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, 9,510 sebut harga menunjukkan kenaikan harga, 10,278 penurunan harga dan 143,818 adalah tidak berubah. Perincian bilangan sebut harga mengikut Negeri adalah seperti
di Jadual 1, manakala pecahan sebut harga bulan Mac 2020 mengikut kawasan Bandar dan Luar Bandar adalah seperti di Jadual 2.

Jadual 1: Bilangan Sebut Harga Mengikut Negeri,
Februari 2020 dan Mac 2020

Jadual 2: Bilangan Sebut Harga Mengikut Bandar dan Luar Bandar, 
Mac 2020


 3. Analisis IHP bagi keseluruhan item

Daripada 552 item yang diliputi, 337 item telah menunjukkan peningkatan mata indeks, 163 item menunjukkan penurunan dan 52 item kekal tiada perubahan bagi bulan Mac 2020 berbanding Mac 2019. Antara item yang menunjukkan perubahan adalah seperti di Paparan 1.

Paparan 1: Peratus perubahan tahunan IHP bagi item terpilih



4. Analisis harga mengikut item

Berdasarkan 781 spesifikasi item, didapati 474 item menunjukkan peningkatan harga berbanding Mac 2019. Daripada 474 item ini, dapatan menunjukkan sebanyak 359 item mengalami peningkatan harga kurang daripada 5 peratus.

Antara item yang mengalami peningkatan harga kurang daripada
5 peratus adalah seperti:
ikan bawal hitam, 3.9% (Mac20: RM26.25/kg; Mac19: RM25.27/kg),
sawi bunga, 3.5% (Mac20: RM6.86/kg; Mac19: RM6.63/kg),
pisang emas, 2.6% (Mac20: RM4.37/kg; Mac19: RM4.26/kg); dan
sayur kacang panjang 2.2% (Mac20: RM6.52kg; Mac19: RM6.38/kg).

Dalam tempoh yang sama, 11 item telah menunjukkan peningkatan harga melebihi 30 peratus. Antara item tersebut adalah seperti:
bawang kecil merah 108.9% (Mac20:RM12.20/kg; Mac19:RM5.84/kg);
bawang besar (India) 101.8% (Mac20:RM6.90/kg; Mac19:RM3.42/kg);
bawang putih 56.0% (Mac20: RM11.03/kg; Mac19: RM7.07/kg).

Ringkasan analisis harga mengikut item adalah seperti di Jadual 3.

Jadual 3: Peratus perubahan tahunan harga, Mac 2020


Disediakan oleh:
Bahagian Perangkaan Harga, Pendapatan & Perbelanjaan
Jabatan Perangkaan Malaysia

Monday 23 March 2020

Survei Kesan COVID-19 kepada individu dan ekonomi Malaysia




Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang menjalankan Survei Khas 'Kesan Coronavirus Disease (COVID-19) kepada Ekonomi dan Individu'-Pusingan 1.

Kerjasama tuan/puan amat diperlukan untuk melengkapkan survei ini menerusi capaian: 
Sama-sama kita membantu negara menangani krisis COVID-19.

Monday 9 March 2020

Malaysia CPI Inflation Calculator

Apa itu CPI Inflation Calculator?

CPI Calculator adalah satu sistem diwujudkan bagi mendapatkan pengiraan susut nilai wang pada tempoh masa tertentu. Seperti contoh, berapakah nilai RM 100 pada Januari 1980 dibandingkan pada Januari 2019. Ia dijana menggunakan pergerakan Indeks Harga Pengguna.

Bagaimana cara untuk mendapatkannya?

Semua cara terdapat di dalam video dibawah.




Untuk makluman, CPI Calculator telah dimuatnaik di dalam Portal Jabatan pada 31 Januari 2020 sebelum ia dilancarkan pada 3 Februari 2020 dalam rancangan Bicara Pengguna, RTM oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Ketua Perangkawan Malaysia. 


Prestasi Indeks Harga Pengguna bagi Januari 2020

Indeks Harga Pengguna bagi Januari 2020
Tahun Asas (2010=100)


Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.6 peratus pada Januari 2020 kepada 122.4 berbanding 120.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Kenaikan indeks keseluruhan ini adalah didorong oleh kenaikan indeks Pengangkutan (3.9%), Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.5%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (1.7%), Pendidikan (1.7%) dan Komunikasi (1.5%).


Purata harga RON 95 yang lebih tinggi pada bulan Januari 2020 iaitu RM2.08 per liter berbanding RM1.98 pada Januari 2019 telah menyumbang kepada kenaikan indeks Pengangkutan dan indeks keseluruhan. Tambahan pula, purata harga RON97 menunjukkan kenaikan harga kepada RM2.58 per liter berbanding RM2.28 manakala Diesel meningkat kepada RM2.18 per liter daripada RM2.12 pada bulan yang sama tahun lepas.






Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.1 peratus berbanding Disember 2019. Peningkatan ini disokong terutamanya oleh Pendidikan (0.4%), Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (0.4%), Kesihatan (0.2%) dan Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.2%).



Indeks Harga Pengguna Mengikut Negeri

Tiga negeri iaitu Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.1%), Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur (1.8%) dan Johor (1.8%) menunjukkan kenaikan melepasi paras IHP nasional 1.6 peratus pada Januari 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.



Semua negeri kecuali Kelantan mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.4%) diikuti oleh Johor (1.3%), Pulau Pinang (1.1%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.0%) dan Perak (1.0%) dan ia melebihi paras nasional 0.9 peratus bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol pada Januari 2020.













Tuesday 28 January 2020

Prestasi Indeks Harga Pengguna bagi Disember 2019

Indeks Harga Pengguna bagi Disember 2019
Tahun Asas (2010=100)

Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.0 peratus pada Disember 2019 kepada 122.3 berbanding 121.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Kenaikan indeks keseluruhan ini adalah didorong oleh kenaikan indeks Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.4%), Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.7%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (1.7%), Pendidikan (1.7%), Komunikasi (1.5%), Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (1.4%) dan Kesihatan (1.4%)

Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding November 2019. Peningkatan ini disokong terutamanya oleh Makanan & Minuman Bukan Alkohol (0.5%) dan Restoran & Hotel (0.2%).

Sementara itu, IHP bagi suku tahun keempat 2019 meningkat 1.0 peratus kepada 122.1 berbanding 120.9 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya. Bagi perbandingan suku tahunan, IHP meningkat 0.3 peratus berbanding suku tahun ketiga 2019.

IHP bagi tahun 2019 mencatatkan peningkatan 0.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.



















Indeks Harga Pengguna Mengikut Negeri

Tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.5%), Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.4%) dan Johor (1.1%) menunjukkan kenaikan melepasi paras IHP nasional        1.0 peratus pada Disember 2019 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.















Semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Johor (2.5%) diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.1%) dan Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.1%) iaitu melebihi paras nasional 1.7 peratus bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol pada Disember 2019.

FAQ INDEKS HARGA PENGGUNA MAC 2020

APAKAH INDEKS HARGA PENGGUNA (IHP) IHP adalah ukuran perubahan harga dari masa ke masa bagi sekumpulan barangan dan perkhidmatan tetap ...