Tuesday 21 April 2020

FAQ INDEKS HARGA PENGGUNA MAC 2020

APAKAH INDEKS HARGA PENGGUNA (IHP)

IHP adalah ukuran perubahan harga dari masa ke masa bagi sekumpulan barangan dan perkhidmatan tetap yang biasa dibeli oleh isi rumah. Bakul IHP mengandungi   kira-kira 780 jenis barang dan perkhidmatan penggunaan. Ia hanya meliputi perbelanjaan yang dilakukan oleh isi rumah dan perbelanjaan disini adalah tidak termasuk perbelanjaan bukan penggunaan seperti pembayaran balik pinjaman, cukai pendapatan dan pembelian aset.

Setiap barangan dan perkhidmatan yang diliputi dalam “bakul” IHP adalah barangan yang menjadi pilihan orang ramai dan bersifat selalu digunakan. Barangan dan perkhidmatan ini mempunyai ‘wajarannya’ yang tersendiri, iaitu merujuk kepada komposisi perbelanjaan bagi setiap barangan tersebut daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah setiap bulan. Sebagai contoh, wajaran perbelanjaan untuk subkumpulan bahan api dan pelincir kenderaan persendirian direkodkan sebanyak 8.5 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan purata rakyat Malaysia.

Data perbelanjaan rakyat Malaysia ini diperoleh daripada Survei Penyiasatan Pendapatan, Perbelanjaan dan Kemudahan Asas Isi Rumah (HIES & BA) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada setiap dua tahun sekali. Ini bermaksud, secara umumnya wajaran perbelanjaan IHP juga dikemaskini setiap dua tahun sekali.

Setiap jenis barang dan perkhidmatan ini dikelaskan berpandukan kepada Classification of Individual Consumption According to Purpose (COICOP). Terdapat 12 kumpulan utama iaitu:

Kumpulan Utama
Wajaran
01 : Makanan dan Minuman Bukan Alkohol
29.5%
02 : Minuman Alkohol dan Tembakau
2.4%
03 : Pakaian dan Kasut
3.2%
04 : Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain
23.8%
05 : Hiasan,Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah
4.1%
06 : Kesihatan
1.9%
07 : Pengangkutan
14.6%
08 : Komunikasi
4.8%
09 : Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan
4.8%
10 : Pendidikan
1.3%
11 : Restoran dan Hotel
2.9%
12 : Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan
6.7%


IHP DAN INDEKS KOS SARA HIDUP

IHP mengukur perubahan harga barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh isi rumah. Sementara indeks kos sara hidup merujuk kepada ukuran jumlah Ringgit yang diperlukan untuk membeli sejumlah barang dan perkhidmatan berdasarkan standard tertentu kehidupan. IHP tidak boleh digunakan untuk mengukur kos sara hidup memandangkan ianya hanya mengukur perubahan harga dari semasa ke semasa. Ini bermaksud apabila indeks bagi satu-satu item atau kawasan lebih tinggi dari yang lain, ianya bukan bermaksud harga barang bagi item atau kawasan tersebut meningkat lebih laju berbanding yang lain. Jadual di bawah menunjukkan perbezaan di antara indeks harga dan harga barang.

Item
Indeks Harga Pengguna
Nilai harga
Mac 2019
Mac 2020
Mac 2019 (RM)
Mac 2020 (RM)
· Sepinggan nasi
A. Kawasan A
100.0
102.1
7.00
7.15
B. Kawasan B
100.0
103.0
5.00
5.15

Dari segi indeks, kawasan B menunjukkan peningkatan harga lebih laju dari kawasan B. Namun dari segi kos sara hidup, untuk mendapatkan sepinggan nasi, kawasan A masih lebih mahal dari kawasan B.


APA YANG TERJADI?

IHP  diperingkat  keseluruhan  bakul  bagi  Mac  2020  merekodkan penurunan 0.2 peratus (Mac 2020) berbanding 1.3 peratus semasa Februari 2020. Ini merupakan penurunan kali ketiga semenjak IHP diasaskan semula dengan menggunakan tahun asas 2010. Penurunan kali pertama adalah pada Januari 2019 (-0.7 peratus) dan kali kedua pada Februari 2019 (-0.4 peratus).  Dengan kata lain, sekumpulan barang dan perkhidmatan yang menelan belanja RM100 pada bulan Mac 2019 akan mempunyai kos sebanyak RM99.80 pada bulan Mac 2020.

Berdasarkan data yang diterbitkan, faktor utama yang mendorong kejatuhan ini adalah disebabkan kejatuhan harga dalam subkumpulan bahan api pelincir untuk kegunaan sendiri, iaitu turun sebanyak 16.1 peratus (Mac 2020) berbanding positif  3.8  peratus   bagi  tempoh  Februari  2020.  Subkumpulan  ini mewakili 8.5 peratus  daripada bakul IHP. Keadaan ini secara langsung telah mengakibatkan penurunan inflasi tertinggi bagi kategori Pengangkutan sebanyak 8.9 peratus. Ini adalah selaras dengan pengapungan harga RON 95 yang dikurangkan sepanjang Mac 2020, yang mana secara purata harga RON 95 adalah RM1.74 seliter berbanding RM2.07 seliter (Februari 2020).  

Selain daripada kumpulan Pengangkutan, kumpulan pakaian dan kasut juga menunjukkan penurunan. Namun begitu, perlu difahami bahawa walaupun kadar inflasi keseluruhan adalah di bawah paras 0, masih terdapat beberapa kumpulan utama seperti kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol yang mencatatkan  peningkatan  sebanyak  1.2  peratus  dan  kumpulan  kesihatan,  1.4 peratus.

Jika disorot kembali, inflasi mula menunjukkan perubahan yang perlahan mulai Jun 2018 apabila kerajaan memansuhkan GST (Jun-Ogos 2018) dan menstrukturkan semula percukaian daripada GST kepada SST mulai September 2018 dan disokong juga dengan pelaksanaan pengapungan harga bahan api untuk kenderaan persendirian yang lebih rendah.
  

INFLASI UMUM ATAU INFLASI TERAS?

Perlu dijelaskan bahawa kejatuhan dalam IHP adalah merujuk kepada inflasi umum (headline inflation) yang merupakan ukuran yang berbeza untuk inflasi teras. Oleh itu, penting untuk memahami apa yang disebut IHP; apakah perbezaan antara inflasi utama dan teras; dan apakah itu inflasi negatif dan deflasi.

Di Malaysia, selain daripada IHP umum, Harga purata juga diukur menggunakan barangan teras iaitu barangan kawalan yang mempunyai harga yang stabil dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan. Indeks barangan teras ini masih menunjukkan peningkatan  positif   dengan  kadar  yang  sama  seperti  Februari  2020  iaitu  1.3 peratus.


SAYA KELIRU, ADAKAH DEFLASI ATAU INFLASI NEGATIF?

Inflasi negatif yang sedang dialami sekarang ini seharusnya tidak perlu dikelirukan dengan deflasi. Menurut bekas pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Ben Bernanke, deflasi merujuk kepada: "penurunan harga secara umum, dengan penekanan pada perkataan" umum ". Penurunan harga bagi beberapa kumpulan spesifik  pada amnya bukan masalah untuk ekonomi dan tidak membentuk deflasi ".

Singapura pernah mengalami situasi yang sama seperti Malaysia pada tahun              2014-2015. Pengarah Urusan Kewangan Singapura (MAS) Ravi Menon menjelaskan bahawa Singapura tidak menghadapi deflasi kerana penurunan harga "tidak meluas atau berterusan", menyaksikan masih berlaku kenaikan yang positif dalam inflasi teras dan harga barangan dan perkhidmantan bagi keperluan asas. Penurunan harga hanya berlaku dalam pasaran kenderaan dan pasaran harta benda akibat intervensi kerajaan.

United Kingdom juga mengalami inflasi negatif pada Mac 2011 dengan penurunan  0.1 peratus, merupakan inflasi negatif yang pertama semenjak tahun 1960. Penurunan ini adalah disebabkan penurunan harga tambang pengangkutan air dan laut disamping kejatuhan harga minyak. Namun, menurut pandangan pakar ekonomi UK, Larry Elliott, mengatakan apa yang dialami oleh UK bukanlah deflasi. Beliau menjelaskan deflasi adalah kejatuhan harga secara umum dan berterusan, bukan penurunan jangka pendek kepada sektor tertentu.

Negara yang pernah mengalami deflasi adalah Jepun, yang telah berjuang untuk menaikkan penurunan harga selama 15 tahun. Dalam usaha untuk mencetuskan pinjaman dan perbelanjaan, bank pusatnya, Bank of Japan, telah  menetapkan kadar faedah negatif sebanyak 0.1 peratus ke atas beberapa deposit pada bulan Januari 2016.

No comments:

Post a Comment

FAQ INDEKS HARGA PENGGUNA MAC 2020

APAKAH INDEKS HARGA PENGGUNA (IHP) IHP adalah ukuran perubahan harga dari masa ke masa bagi sekumpulan barangan dan perkhidmatan tetap ...